Nekad bersara awal majukan Naim Dim Sum
Abstract
Keputusan bersara awal daripada perkhidmatan awam sedekad lalu langsung tidak pernah dikesali pengasas Naim Dim Sum Frozen Food, Hasnah Ahmad Shah Azizi.
Description
GOPENG: Keputusan bersara awal daripada perkhidmatan awam sedekad lalu langsung tidak pernah dikesali pengasas Naim Dim Sum Frozen Food, Hasnah Ahmad Shah Azizi.
Sebaliknya, keberanian meninggalkan kerjaya sebagai penjawat awam membuka lembaran baharu buat wanita berusia 60 tahun itu apabila produk dim sum dan gyoza keluarannya kini berjaya menembusi pasaran hampir di seluruh negara, selain menjana pendapatan lima angka setiap bulan.
Hasnah berkata, bengkel penghasilan produknya yang beroperasi di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, selain memasarkan produk di bawah jenama Naim Dim Sum, turut menyediakan perkhidmatan pengeluaran produk bagi syarikat lain menerusi konsep Original Equipment Manufacturer (OEM).
Antara produk ditawarkan ialah pelbagai variasi dim sum berintikan ayam dipadankan dengan bahan lain seperti daging lada hitam, udang, isi ketam, cendawan dan sotong serta gyoza.
Semua produk dihasilkan secara berskala besar menggunakan mesin bagi memastikan kapasiti pengeluaran yang tinggi serta kualiti konsisten.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, minat mendalam dalam bidang perniagaan mendorongnya mengusahakan perusahaan berkenaan, walaupun ketika itu masih berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman.
"Demi merealisasikan impian sebagai usahawan, saya mengambil keputusan bersara awal ketika berusia 50 tahun. Selepas itu saya berniaga secara kecil-kecilan di pasar tani dengan menjual dim sum, karipap dan samosa.
"Pandemik COVID-19 pada 2020 menjadi titik perubahan apabila saya mendapat peluang bertapak di RTC Gopeng dengan sokongan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)," katanya kepada BH.
Perusahaannya terus berkembang apabila menerima bimbingan dan bantuan daripada Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Perak, termasuk bantuan kira-kira RM50,000 yang digunakan bagi membeli enam mesin pembuat acuan dim sum automatik.
Katanya, beliau turut dipilih menyertai Program Pensijilan Halal di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 2022, sekali gus melayakkannya menerima dana RM100,000 bagi memperkasakan perusahaan.
"Dana itu digunakan untuk membeli dua mesin diimport dari Taiwan bernilai RM37,000 serta pelbagai peralatan lain bagi melengkapkan operasi di bengkel.
"Dim sum sinonim dengan masyarakat Cina dan tidak ramai usahawan Melayu mengeluarkan produk ini. Sebab itu, saya melihat masih ada ruang yang besar untuk mengembangkan pasaran makanan halal," katanya.
Menurutnya, selain latihan dan kursus keusahawanan, DOF Perak turut membimbing syarikatnya memperkenalkan gyoza, iaitu pau kecil Jepun.
Beliau berkata, daripada sembilan jenis dim sum dihasilkan, empat perisa paling mendapat sambutan ialah lada hitam, ayam daging, udang dan ketam manakala selebihnya hanya dihasilkan mengikut tempahan pelanggan.
Kini dibantu dua pekerja tetap dan empat pekerja sambilan, Hasnah berkata, jenama Naim Dim Sum diambil sempena nama anak bongsunya, Naim Asyraf Zakaria, 30, yang turut membantu menguruskan operasi dan pemasaran syarikat.
Walaupun menetap di Pulau Pinang bersama keluarga serta mempunyai kerjaya sendiri, katanya, Naim Asyraf akan pulang membantu ketika syarikat menyertai festival atau program jualan berskala besar, selain mengendalikan pemasaran menerusi media sosial.
"Berlatarbelakangkan pengajian dalam bidang mekanikal industri, dia juga membantu menyelenggara mesin di bengkel apabila pulang ke kampung pada hujung minggu.
"Saya memilih nama Naim Dim Sum kerana memang berhasrat membina empayar makanan halal milik Muslim yang kukuh dan suatu hari nanti dapat diwariskan kepada Naim Asyraf untuk diteruskan," katanya.
Selain diletakkan sebagai antara agensi peneraju bagi flagship Sekuriti Makanan di dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saaarani Mohamad, DOF juga diletakkan sebagai antara agensi peneraju kepada agenda 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi di bawah flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Type
newspaperArticleSubject
Collections
- 2026 [51]

