DOF banteras penangkapan, perdagangan haram 5 spesies ikan yu dilindungi
Abstract
Jabatan Perikanan (DOF) sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti penangkapan dan perdagangan haram membabitkan lima spesies ikan yu yang dilindungi.
Description
KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan (DOF) sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti penangkapan dan perdagangan haram membabitkan lima spesies ikan yu yang dilindungi.
Ini termasuk memantau penjualan ikan yu yang dilindungi itu di laman sosial media susulan aduan diterima.
Lima spesies yu dilindungi di Malaysia membabitkan Yu Paus (Rhincodon typus), Yu Sirip Putih Lautan (Carcharhinus longimanus), Yu Tukul Licin (Sphyrna zygaena), Yu Tukul Besar (Sphyrna mokarran) dan Yu Tukul Sayap (Eusphyra blochii).
Selain lima spesies disenaraikan dilindungi mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999, Yu Tukul Bengkong (Sphyrna lewini) kini sedang melalui proses pewartaan sebagai spesies ikan terancam berdasarkan perkembangan maklumat saintifik dan status konservasi semasa.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata Malaysia merekodkan 65 spesies ikan yu yang terdiri daripada tujuh order dan 20 famili.
"Daripada jumlah itu, kumpulan Carcharhiniformes merupakan order yang paling dominan dengan 44 spesies.
"Bukan semua spesies ikan yu di Malaysia dilindungi mengikut undang-undang. Pada masa ini, lima spesies disenaraikan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999," katanya melalui kenyataan hari ini.
Mengulas tindakan diambil, beliau berkata pada 2016 satu kes membabitkan penangkapan Yu Paus dikesan, manakala tahun ini Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas 35.6 tan sirip ikan yu kering bernilai kira-kira RM8.2 juta yang dipercayai diimport tanpa permit sah serta diikrarkan secara palsu.
"DOF juga menerima aduan orang awam berhubung penjualan ikan yu di pasar dan platform media sosial.
"Setiap aduan akan disiasat bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang," katanya..
Berdasarkan data rasmi DOF, Adnan berkata jumlah pendaratan ikan yu pada 2024 ialah 5,585.44 tan metrik dengan nilai borong RM35.55 juta.
"Pada 2025, jumlah pendaratan meningkat kepada 6,836.47 tan metrik dengan nilai borong RM47.04 juta.
"DOF mengingatkan mana-mana individu yang menangkap, memiliki, mengangkut, menjual atau memperdagangkan spesies ikan yu dilindungi tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perikanan 1985 dan peraturan-peraturan berkaitan," katanya.
Beliau turut menyeru komuniti nelayan terus mengamalkan aktiviti penangkapan ikan secara bertanggungjawab.
"Sekiranya ikan yu tertangkap sebagai tangkapan sampingan dan masih hidup, lepaskanlah semula ke laut dengan kaedah pengendalian sesuai kerana tindakan kecil ini mampu memberi impak besar dalam memastikan kelestarian sumber perikanan dan keseimbangan ekosistem marin negara," katanya.
Type
newspaperArticleSubject
Collections
- 2026 [51]

