Analisis makmal sahkan hasil laut, kualiti air Kuala Juru selamat
Abstract
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan hasil analisis makmal terhadap sampel air dan kerang di perairan Kuala Juru, Pulau Pinang berada pada tahap selamat serta mematuhi standard keselamatan makanan negara.
Description
KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan hasil analisis makmal terhadap sampel air dan kerang di perairan Kuala Juru, Pulau Pinang berada pada tahap selamat serta mematuhi standard keselamatan makanan negara.
Pengarah Perikanan Pulau Pinang, Azimah Jumatli, berkata analisis dijalankan Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung dengan kerjasama Pusat Biosekuriti Perikanan Kuantan dan Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor susulan aduan berkaitan pencemaran diterima daripada komuniti setempat.
"Pemeriksaan meliputi parameter logam berat, kualiti air, plankton dan biotoksin marin. Keputusan ujian mendapati kandungan logam berat seperti merkuri, kadmium dan plumbum dalam sampel kerang berada di bawah had maksimum dibenarkan mengikut Akta Makanan 1983.
"Analisis biotoksin itu menggunakan kaedah High-Performance Liquid Chromatography (HPLC) turut merekodkan bacaan toksin Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) pada tahap rendah dan selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 100 penternak kerang dan nelayan di Kampung Kuala Juru, Seberang Perai Tengah berdepan kebimbangan apabila pencemaran Sungai Juru didakwa semakin serius sejak setahun lalu sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Pencemaran yang disyaki berpunca daripada pembuangan sisa kilang dan sisa kolam ternakan udang di kawasan berkenaan menyebabkan lebih 50 peratus hasil pendapatan penternak dan nelayan terjejas susulan kematian kerang serta ikan di sungai terbabit.
Masalah itu menjadi semakin serius selepas pintu saliran sisa buangan kilang di Sungai Derhaka yang bersambung dengan Sungai Juru dibuka semula selepas sekian lama ditutup.
Pada 12 Mei lalu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, mendakwa tahap pencemaran di Sungai Juru semakin serius dan jika gagal ditangani segera, ia boleh menjejaskan mata pencarian komuniti penternak kerang serta nelayan di kawasan terbabit.
Mengulas lanjut, Azimah berkata, analisis mikroskopi terhadap sampel air juga mengesahkan tiada kehadiran mikroalga toksik seperti Alexandrium spp, Dinophysis spp dan Pseudo-nitzschia spp yang boleh menyebabkan fenomena air pasang merah (red tide).
"Selain itu, bacaan ammonia dan nitrat didapati mematuhi Standard Kualiti Air Kebangsaan Kelas IIA bagi pemeliharaan hidupan akuatik sensitif.
"Keputusan analisis itu menunjukkan keadaan perairan Kuala Juru serta hasil laut di kawasan berkenaan masih berada pada tahap selamat dan terkawal.
"Orang ramai tidak perlu panik kerana hasil analisis yang dijalankan mengesahkan sumber perikanan di Kuala Juru masih selamat untuk dimakan dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna," katanya.
Katanya, pemantauan secara berkala terhadap aspek biosekuriti dan kualiti perairan akan diteruskan bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara.
Type
newspaperArticleCollections
- 2026 [51]

