Tidak patah semangat, bangkit selepas 10,000 anak ikan mati
Abstract
Kegagalan awal apabila kira-kira 10,000 anak ikan mati tidak mematahkan semangat seorang penternak ikan air tawar untuk bangkit dan terus mengusahakan bidang itu hingga berjaya menjana pendapatan sejak dua tahun lalu di Kampung Klan Halt 3, di sini.
Description
BEHRANG: Kegagalan awal apabila kira-kira 10,000 anak ikan mati tidak mematahkan semangat seorang penternak ikan air tawar untuk bangkit dan terus mengusahakan bidang itu hingga berjaya menjana pendapatan sejak dua tahun lalu di Kampung Klan Halt 3, di sini.
Mohd Khalilullah Che Mood, 48, berkata cabaran itu berpunca daripada kandungan mineral tinggi dalam air bawah tanah yang digunakan pada peringkat awal, sekali gus menjejaskan kelangsungan hidup anak ikan tilapia dan keli yang diternaknya.
Katanya, selepas melakukan rawatan terhadap sumber air berkenaan, ternakannya kembali stabil dan mampu membesar dengan baik serta memberi pulangan memuaskan.
"Itulah antara cabaran awal yang saya lalui sehingga terpaksa menanggung kerugian, namun ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk terus bertahan dalam bidang penternakan ikan air tawar," katanya ketika ditemui, di sini.
Beliau berkata, ternakan ikan keli diusahakan di bawah bangunan berbumbung membabitkan 16 kolam konkrit manakala lapan kolam kanvas digunakan untuk ternakan ikan tilapia.
Menurutnya, setiap kolam keli berukuran dua meter panjang dan empat meter lebar mampu menampung kira-kira 2,500 anak ikan, manakala kolam kanvas berdiameter lima meter boleh memuatkan sekitar 2,000 anak ikan tilapia.
"Ikan tilapia mengambil masa antara empat hingga enam bulan untuk dituai, manakala ikan keli hanya memerlukan tempoh dua hingga tiga bulan sebelum boleh dipasarkan," katanya.
Mohd Khalilullah berkata, bekalan anak ikan diperoleh secara borong daripada pusat pembenihan, manakala makanan palet digunakan dengan keperluan mencecah sekurang-kurangnya satu tan sebulan.
Katanya, bagi ternakan ikan keli, air kolam perlu ditukar sekurang-kurangnya dua kali seminggu, manakala ikan tilapia menggunakan kaedah bioflok yang tidak memerlukan pertukaran air secara kerap kerana dirawat dengan campuran probiotik.
"Kaedah ini antara faktor yang menjadikan ikan diternak mempunyai rasa lebih manis dan tidak berbau hanyir," katanya.
Beliau berkata, ikan keli dijual pada harga RM9 sekilogram bagi runcit dan RM7.50 sekilogram secara borong, manakala ikan tilapia pula RM16 sekilogram (runcit) dan RM13 sekilogram (borong).
Bagi menambah nilai produk, beliau turut menawarkan jualan ikan sejuk beku yang telah diperap dengan garam dan kunyit, sekali gus memudahkan pelanggan untuk terus memasaknya.
Bapa kepada enam anak itu berkata, beliau sentiasa meningkatkan pengetahuan dengan menyertai kursus penternakan anjuran agensi kerajaan bagi mendalami teknik baharu serta memahami cabaran industri.
Katanya, sokongan isteri, Zailiyah Adzri, 48, menjadi sumber kekuatan dan motivasi untuk terus berjaya dalam bidang berkenaan.
"Saya juga bersyukur kerana Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) membekalkan 5,000 anak ikan tilapia menerusi program SPeKs, selain menyediakan khidmat sokongan akuakultur seperti latihan, lawatan, seminar dan bengkel.
"Semua ini banyak membantu saya mengembangkan usaha ternakan dan meningkatkan hasil," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DOF sebagai peneraju inisiatif Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) di bawah pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang dicetuskan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Type
newspaperArticleSubject
Collections
- 2026 [51]

