SPIA tangkap 84.52 tan ikan bandaraya, kawal pembiakan elak ekosistem air tawar negara terjejas
Abstract
Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) merekodkan 84.52 tan ikan bandaraya atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus yang berjaya ditangkap di seluruh Semenanjung Malaysia setakat ini, sekali gus mencerminkan tahap serius penularan spesies invasif berkenaan.
Description
KUALA LUMPUR: Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) merekodkan 84.52 tan ikan bandaraya atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus yang berjaya ditangkap di seluruh Semenanjung Malaysia setakat ini, sekali gus mencerminkan tahap serius penularan spesies invasif berkenaan.
Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan tangkapan tertinggi iaitu 68 tan, disebabkan negeri itu adalah 'hotspot' utama bagi operasi pengawalan ikan bandaraya.
Pengasas SPIA, Mohamad Haziq A Rahman, berkata operasi dan pangkalan utama SPIA ada di Selangor dan pihaknya kerap mengadakan aktiviti pemantauan serta program lapangan, sekali gus ia menyumbang kepada data yang lebih tinggi berbanding negeri lain.
"Selain itu, lambakan ikan bandaraya juga cenderung berlaku di kawasan bandar utama dan Selangor mempunyai banyak bandar besar dengan kepadatan penduduk tinggi," katanya kepada BH.
Kehadiran ikan bandaraya yang berasal dari Amerika Selatan ini memberi kesan negatif terhadap ekosistem air tawar negara apabila ia membiak tanpa kawalan dan mendominasi habitat sungai serta tasik tempatan.
Spesies asing ini bersaing dengan ikan tempatan untuk sumber makanan dan ruang, selain mengorek tebing sungai untuk bertelur sehingga menyebabkan hakisan.
Jika tidak dikawal, penyebaran ikan jenis ini boleh menjejaskan biodiversiti dan sumber perikanan darat dalam jangka panjang.
Bagi negeri lain, Mohamad Haziq berkata, Perak, Kedah dan Pulau Pinang serta Johor turut mencatat angka tertinggi tangkapan ikan bandaraya, disusuli Melaka dan Negeri Sembilan.
"Bagi zon Pantai Timur, sebelum ini tiada data rasmi direkodkan, namun sejak kebelakangan ini, aduan orang awam membuktikan kewujudan ikan bandaraya di Pahang dan Terengganu dengan kuantiti agak banyak, walaupun belum pada tahap serius seperti negeri lain.
"Bagaimanapun, Kelantan setakat ini belum merekodkan sebarang penemuan ikan jenis itu," katanya.
Ditanya punca lambakan ikan bandaraya, Mohamad Haziq berkata, ia disebabkan tindakan individu melepaskan ikan terbabit ke kawasan sungai yang mengakibatkan ia membiak dengan cepat.
"Kebiasaannya masyarakat bandar mempunyai hobi memelihara ikan hiasan dalam akuarium di rumah.
"Namun, apabila pemilik tidak lagi mampu menanggung komitmen dari segi masa dan penjagaan, sebahagian mereka bertindak melepaskan ikan terbabit ke kawasan perairan air tawar berhampiran kediaman masing-masing.
"Tindakan ini yang menyumbang kepada peningkatan populasi ikan berkenaan di perairan awam," katanya.
Mohamad Haziq berkata, SPIA menjalankan operasi hampir setiap hari pada hari biasa, manakala pada hujung minggu bekerjasama dengan syarikat korporat swasta dan agensi kerajaan menerusi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membaik pulih ekosistem sungai.
"SPIA adalah rakan strategik kepada Jabatan Perikanan (DOF) khususnya DOF Selangor, selain bekerjasama rapat dengan agensi lain termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.
Katanya, cabaran utama di lapangan untuk menghapuskan ikan bandaraya ialah lambakan ikan asing ini seolah-olah tiada kesudahan, dengan jumlah tangkapan mencecah angka terlalu besar.
"Selain itu, risiko arus sungai deras dan laju serta ancaman hidupan liar seperti buaya turut menjadi cabaran ketika operasi dijalankan," katanya.
Sementara itu, Mohamad Haziq berkata, sebahagian ikan bandaraya yang ditangkap akan dijadikan pallet dan baja kompos.
Katanya, ada juga ikan bandaraya yang dilupuskan secara tanam terutama ikan dari sungai tercemar terutama di bandar besar," katanya.
Type
newspaperArticleCollections
- 2026 [51]

