Bekalan ikan negara kekal stabil dan selamat dimakan - DOF
Abstract
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memberi jaminan bekalan ikan negara ketika ini kekal stabil, mencukupi dan selamat untuk dimakan biarpun wujud kebimbangan berhubung isu lambakan sampah di laut yang dikhuatiri menyebabkan pencemaran.
Description
Kuala Lumpur: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memberi jaminan bekalan ikan negara ketika ini kekal stabil, mencukupi dan selamat untuk dimakan biarpun wujud kebimbangan berhubung isu lambakan sampah di laut yang dikhuatiri menyebabkan pencemaran.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, isu pencemaran laut memang menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat namun berdasarkan penilaian semasa ia tidak menjejaskan tahap keseluruhan bekalan ikan negara negara.
Bagaimanapun katanya, isu pencemaran dengan lambakan sampah di laut tetap tidak boleh diambil mudah dan kesedaran mengenainya tetap perlu diperluaskan di lapisan masyarakat bagi terus menjamin Kelestarian ekosistem marin negara.
"Jabatan turut memperkenalkan standard MS 2772:2023 Hygiene on Board (HOB) bagi memperkukuh aspek kebersihan, pengendalian hasil tangkapan dan pengurusan sisa di atas vesel.
"Skop HOB merangkumi kebersihan vesel, pengendalian hasil tangkapan secara bersih, kawalan makhluk perosak, pengurusan air bersih serta amalan sanitasi kru bagi memastikan ikan yang didaratkan berada dalam keadaan berkualiti dan selamat," katanya.
Sementara itu, Adnan berkata, sektor perikanan negara terus menunjukkan prestasi stabil dan positif dari segi pengeluaran dengan pendaratan perikanan tangkapan direkodkan sekitar 1.32 juta tan metrik pada 2024, manakala bagi tahun 2025 diunjurkan meningkat kepada kira-kira 1.34 juta tan metrik.
Katanya, sektor akuakultur terus memainkan peranan penting dalam menyokong bekalan negara dengan pengeluaran kira-kira 511,850 tan metrik setahun serta menunjukkan trend pertumbuhan yang positif.
"Bagi memastikan kelestarian sumber dan kestabilan bekalan jangka panjang, Jabatan melaksanakan pelbagai langkah pengurusan termasuk musim penutupan perikanan, program pelepasan benih ikan, pewartaan kawasan perlindungan marin.
"Ia turut membabitkan pemodenan vesel melalui pematuhan MS 2772:2023 – HOB yang menekankan aspek kebersihan vesel, pengendalian hasil tangkapan, kawalan suhu dan pengurusan sisa operasi. Ia bagi memastikan bekalan ikan negara kekal mampan, berdaya tahan dan berterusan untuk jangka panjang," katanya.
Sebelum ini muka depan Harian Metro menyiarkan laporan Malaysia menyumbang kira-kira 73,098 tan metrik sisa plastik ke lautan setiap tahun, menjadikan negara ini antara penyumbang tertinggi pencemaran plastik lautan di peringkat global sekali gus berisiko memberi kesan secara langsung kepada sektor perikanan.
Type
newspaperArticleSubject
Collections
- 2026 [16]

